mutakhir

SMAKJ cuti 3 hari

Oleh Adnan Ibrahim

SEMUA pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di Kluang, diberikan cuti selama tiga hari bermula esok berikutan arahan penutupan dewan makan asrama sekolah berkenaan.

SMAKJ mengumumkan cuti berkenaan susulan kes keracunan makanan yang berlaku terhadap 91 pelajar sekolah berkenaan. Semua pelajar diberikan cuti bermula esok hingga Khamis ini.

Penolong Pegawai Pendidikan Islam Kluang, Mazlan Mohd Noor berkata, pemberian cuti itu selepas perbincangan serta persetujuan lisan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menurutnya, tindakan itu dilakukan berikutan arahan penutupan sementara dewan makan asrama sekolah itu selain disebabkan gangguan bekalan air yang berlarutan.

"Menurut pihak pengurusan sekolah, semua pelajar sudah dibenarkan pulang petang tadi namun dikehendaki balik semula ke asrama masing-masing selewat-lewatnya jam 6 petang, 18 Januari nanti," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, Dr Azura Abu Bakar berkata, semua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Katanya, semua pelajar sudah dibenarkan pulang ke sekolah sebaik keadaan mereka kembali pulih.

"Punca sebenar kejadian yang berlaku masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang," katanya.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 9:38pm
d