mutakhir

444 terima anugerah keputeraan

Oleh Azzman Abdul Jamal

PENGERUSI Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah yang sama, Pengarah Pejabat Wilayah Majlis Sains Antarabangsa (ISC) untuk Asia dan Pasifik, Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, EXCO Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Rafie Ab Malek serta EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani pula antara 14 penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Antara yang lain termasuk Pegawai Kewangan negeri, Mohd Khdir Majid, Ketua Hakim Syarie negeri, Abas Nordin dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop

Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Kem Mutiara Tuang, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zani.

Tiga penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk ialah Ketua Eksekutif Antah Healthcare Group, Tunku Mohamed Alauddin Tunku Laxamana Naquiyuddin, Mantan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Dr Zukir Samat dan Aktivis Kanak-Kanak UNCHR dan UNICEF, Dr Hartini Zainuddin

Sejumlah 20 individu dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, M Ravi, Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Brigadier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob dan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), Hazim Jamaluddin.

Sementara itu, seramai 17 individu menerima Darjah Setia Negeri Sembilan, Darjah Tuanku Muhriz (seorang), Darjah Pekerti Terpilih (13), Ahli Setia Negeri Sembilan (52), Setiawan Tuanku Muhriz (dua), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (107), Pingat Jasa Kebaktian (180), Bentara Tuanku Muhriz (180) dan 15 penerima Pingat Khidmat Lama.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 12:00am
d