mutakhir

Diejek kerana kail belut [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

SERING diejek kerana mengail belut, seorang ibu di Pasir Mas hanya mampu menangis dan menguatkan hati.

Insiden itu kerap dialami Ismarina Ismail, 32, dari Kampung Tualang, Bunut Susu, Pasir Mas, yang hampir setiap hari mengail belut sebagai pendapatan sampingan.

Ia bagi menyara empat anaknya yang berusia antara empat hingga 10 tahun.

Ismarina yang baru sebulan bekerja di kedai makan tidak jauh dari rumahnya berkata, belut itu dijual dengan harga RM18 atau RM20 sekilogram, namun jumlahnya tidak menentu.

"Adakalanya, saya pulang dengan tangan kosong tapi yang kerap diterima adalah ejekan daripada orang ramai, mungkin mereka menganggap saya membuang masa atau pekerjaan itu tidak sepatutnya dilakukan seorang wanita.

"Saya tidak mampu membalas sebaliknya hanya mengalirkan air mata sambil membayangkan empat anak di rumah yang menunggu dalam kelaparan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Terdahulu, mereka dikunjungi aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, yang bertanya khabar sambil menyampaikan sumbangan barangan makanan.

Ismarina yang kini dalam proses perceraian berkata, dia menjalankan pelbagai kerja sejak tidak tinggal sebumbung dengan suami lebih setahun lalu.

Katanya, empat anak termasuk anak sulung yang menghidap autisme, Mohd Aiman Fahmi Uzaini, 10, berada di bawah jagaannya.

Selain bekerja di kedai makan dengan upah RM15 sehari, dia juga mengambil upah melakukan pelbagai kerja rumah antaranya mengemas serta melipat dan membasuh kain baju dengan upah antara RM25 hingga RM30.

"Boleh dikatakan rutin harian saya sentiasa terisi dengan kerja dan setiap kali keluar mencari rezeki, anak sulung yang menghidap autisme akan ditinggalkan berseorangan di rumah.

"Ibu mana yang tidak risau membiarkan anak istimewanya tinggal berseorangan tapi saya hanya serahkan kepada Allah untuk menjaganya.

“Sebagai langkah waspada, segala peralatan tajam atau perkakas bahaya akan disimpan di tempat selamat," katanya yang berasal dari Dabong, Kuala Krai.

Dia berkata, dengan bermacam kerja, pendapatan diperolehi hanya cukup makan bagi menampung perbelanjaan harian, membayar sewa rumah sebanyak RM60 sebulan dan persekolahan seorang anak di sekolah rendah serta dua di tadika.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini menghubunginya di talian 010-7621048.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 9:51am
d