mutakhir

Pecut kereta lawan arus enam kilometer

Oleh Siti Rohana Idris

BIMBANG ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seorang lelaki yang berperanan sebagai ‘transporter’ nekad memandu kereta jenis Proton Exora melawan arus sejauh enam kilometer (km).

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, suspek yang membawa dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dilapor bertindak demikian dari Jalan Hospital di Kota Bharu sehingga ke Pasir Hor sebelum ditahan anggota JIM.

Pengarah JIM Kelantan, Azhar Abdul Hamid berkata, lelaki terbabit dikesan di stesen bas di bandar Kota Bharu dipercayai bagi menjemput empat PATI warga Myanmar yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

"Kita percaya dia adalah seorang penyeludup PATI. Lelaki terbabit dipercayai mahu menjemput empat warga Myanmar yang baharu tiba di stesen bas berkenaan untuk dibawa ke sempadan.

"Suspek bagaimanapun hanya membawa dua PATI sahaja dalam kenderaannya manakala dua lagi ditinggalkan di stesen bas itu. Ini berkemungkinan untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggotanya mendekati suspek yang ketika itu sudah memasuki kenderaannya bersama dua PATI sebelum lelaki terbabit memecut kereta melawan arus menghala ke Pasir Hor.

“Tiga kenderaan jabatan yang dinaiki 10 pegawai dan anggota segera mengejar suspek sejauh enam km. Suspek kemudian menghentikan kenderaannya dan cuba untuk melarikan diri namun usahanya itu gagal.

"Kita percaya suspek sudah lama terbabit dalam kegiatan penyeludupan PATI. Selain suspek, seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai orang tengah berusia 49 tahun turut ditahan dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagagan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Empat PATI yang cuba diseludup masing-masing berusia 19 hingga 30 tahun itu pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 10:49am
d