mutakhir

Pengasih sedia bantu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Pengasih Malaysia (Pengasih) bersedia memberi bantuan dalam bentuk bimbingan dan pemulihan kepada 16 individu yang ditahan polis awal pagi kelmarin.

Presidennya Ramli Abdul Samad berkata, ini kerana setiap orang perlu diberikan peluang kedua dan masyarakat perlu memahami keadaan mereka dan bukannya menghukum seratus peratus tanpa sebarang ruang.

Katanya, Pengasih mempunyai modul khas untuk membantu mereka sama ada mereka penagih atau pengguna dadah tegar atau sebaliknya.

“Saya mengikuti kes ini yang tular sejak penahanan mereka kelmarin. Rata-ratanya masih muda dan ada masa depan serta boleh menyumbang kepada negara.

“Tetapi hampir semua komen netizen, mengutuk mereka. Ya mungkin mereka salah, tetapi mereka juga manusia. Pengguna dadah bukan mencuri, mereka juga seperti kita. Jadi Pengasih ada kaedah untuk membantu,” katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, berdasarkan latar belakang pekerjaan, kemungkinan mereka ini tidak termasuk dalam kategori penagih dan dengan modul tertentu, mereka boleh dipulihkan.

“Jadi kita buka ruang untuk mereka. Kita boleh bimbing mengikut kesesuaian kerana Pengasih bukan saja memulihkan penagih, tetapi kita bersama-sama menyelami masalah mereka dan cari jalan penyelesaian. Yang penting ada kemahuan dan beri peluang,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan seramai 16 individu didapati sedang khayal dipercayai berpesta dadah, ditahan selepas kediaman mereka diserbu polis di Jalan Puchong.

Serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 4.40 pagi selepas menerima aduan orang ramai berkaitan bunyi bising.

Berita berkaitan

Pesta dadah 17 kantoi

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 11:19am
d