mutakhir

Bekas guru besar nafi pecah amanah [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

BEKAS guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah sebanyak RM35,500 sejak 2015.

Tertuduh, Chan Thye Choon, 61, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley di Georgetown mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut tujuh pertuduhan pertama, Chan didakwa melakukan jenayah pecah amanah sejumlah RM15,500 membabitkan bayaran sewa padang SK Wellesley di sebuah bank antara 10 November 2015 sehingga 8 Disember 2016.

Bagi pertuduhan terakhir, Chan didakwa melakukan pecah amanah menerusi penerimaan empat cek berjumlah RM20,000 daripada Syarikat Visi Nusajaya Sdn Bhd membabitkan bayaran sewa padang antara 19 Januari 2017 sehingga 7 Mac 2017 di sebuah bank di Georgetown.

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun penjara dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Chan turut diberi lapan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun penjara dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Ahmad Azhari kemudiannya menetapkan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan, selain perlu melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan pada minggu pertama, serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari hadapan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 11:32am
d