mutakhir

JSJN sedang lengkapkan kertas siasatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS akan melengkapkan siasatan kes 17 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditangkap berkaitan dadah sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan akan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

“Kita akan siasat dari semua sudut khususnya berkaitan narkotik.

“Apabila semua dokumen (hasil siasatan) lengkap, kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menilai dari sudut pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat ke-16 Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Persada PLUS di Subang di sini, hari ini.

Semalam tular seorang ADUN Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di Kuala Lumpur, jam 4.40 pagi kelmarin.

ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah ketika ditemui Harian Metro di rumahnya mendakwa dia ke kondominium berkenaan untuk melakukan perbincangan.

Adhif Syan menyifatkan, dia berada di lokasi yang salah pada masa yang salah namun bertegas berada di pihak benar.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, jam 4.40 pagi itu.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuat pegawai khas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya hari ini, Mazlan berkata, polis akan mengkaji laporan berkenaan.

“Saya tak boleh komen selagi belum tengok (laporan polis). Namun, polis akan kaji laporan itu,” katanya.

Berita berkaitan

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 12:32pm
d