mutakhir

RM10.6 juta untuk tempoh sebulan [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mencatat jumlah tangkapan dan rampasan terbesar bagi Ops Wawasan Kelantan dengan nilai RM10.6 juta, dalam tempoh sebulan.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, jumlah itu membabitkan 44 kes berkaitan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya, ia kejayaan sepanjang tempoh penugasan yang bermula 16 Disember 2019 selepas mengambil alih daripada Batalion 9 (PGA9).

“Sejumlah 100 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM7 juta turut dirampas dalam tempoh itu dan ini semua hasil kerjasama pelbagai agensi.

“Rampasan tertinggi membabitkan kes untuk siasatan polis dengan nilai RM7.1 juta, diikuti kes veterinar (RM1.4 juta) dan kes kastam (RM1.1 juta),” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA, Lubok Stol di Rantau Panjang, hari ini.

Azhari berkata, kejayaan besar itu membanggakan namun, fokus utama pihaknya adalah mencegah dan membanteras penyeludupan di sempadan sebaik mungkin.

Katanya, amalan berintegriti sentiasa diterapkan kepada pegawai dan anggota agar setiap tugas dilaksana dengan baik.

Sementara itu, beliau berkongsi kejayaan menumpaskan penyeludupan 1,853 kilogram beras dan 1,500 botol minuman dari negara jiran di Jalan Besar Bunohan, Cabang Empat, Tumpat, pada 3.30 petang semalam.

“Semua barang rampasan dimuatkan di dalam van jenis Nissan Vannete yang dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemandu memberhentikan kenderaan sebaik menyedari kehadiran anggota PGA dan segera melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

“Hasil siasatan, semua barangan itu dibawa masuk menerusi pangkalan haram untuk pasaran tempatan. Rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 134(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 2:37pm
d