mutakhir

PRK Kimanis: Seorang pengundi awal tidak datang [METROTV]

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

HANYA seorang daripada sembilan pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tidak hadir mengundi di pusat pengundian awal di Balai Polis Membakut sehingga ia ditutup pada 12 tengah hari ini.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya di Kimanis melaporkan peratusan pengundi awal yang keluar mengundi hari ini sebanyak 88.9 peratus.

Peratusan itu sudah dicapai pada 9.30 pagi berdasarkan kehadiran lapan pengundi awal tetapi petugas SPR tetap menunggu sehingga tempoh pengundian awal tamat pada 12 tengah hari.

Pagi hari ini, Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pusat pengundian yang dibuka sejak 8 pagi dibuka sehingga tempoh ditetapkan tamat.

“Kita berharap semua pengundi awal datang bagi mencapai kehadiran 100 peratus,” katanya ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di pusat berkenaan,” katanya.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Sementara itu, sebanyak 11 laporan polis diterima berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang 11 hari kempen sejak penamaan calon pada 4 Januari lalu.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya tujuh dibuka kertas siasatan kerana ada laporan polis yang berkaitan kes sama.

Mohemad Elias berkata, antara laporan yang diterima ialah berkaitan sambutan Krismas dan Tahun Baharu yang diadakan sebelum ini.

“Satu lagi kes ialah laporan yang menidakkan laporan berkaitan sambutan Krismas dan Tahun Baharu itu.

“Selebihnya pula ialah berkaitan laporan kes menurunkan ‘bunting’ kempen parti yang bertanding.

“Pemantauan SPR pula setakat ini mengesan tiga kes berkaitan kesalahan ‘bunting’ yang dipasang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 3:07pm
    d