mutakhir

Tegas ada sebabnya [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

KERAJAAN melahirkan kebimbangan mengenai desas-desus India memboikot pembelian minyak sawit, namun Malaysia harus berpendirian tegas menyuarakan sesuatu perkara yang tidak benar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia berhak bersuara mengenai sebarang isu global yang tidak benar termasuk kritikan beliau tentang tindakan India terhadap Kashmir dan perundangan baharu kewarganegaraan mereka.

“Sudah tentu kita bimbang (jika India boikot beli) kerana kita eksport banyak minyak sawit ke India.

“Tetapi, kita harus berterus terang, jika ada perkara tidak kena, kena suarakan, malah seluruh dunia juga merasakan diskriminasi itu tidak patut.

“Bagaimanapun, kita akan cari jalan penyelesaian bagi memastikan India terus membeli minyak sawit kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Integiriti Bank Rakyat 2020 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Industri Utama Teresa Kok menafikan isu boikot berkenaan selepas beberapa laporan media menyebut ada pihak di India mahu memboikot minyak sawit Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, sekatan perdagangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran susulan konflik dua negara terbabit turut menjejaskan Malaysia.

“Saya tidak percaya sekatan, jika kamu menyekat, kamu menyakiti rakyat.

“Dalam isu ini, jika kamu (AS) menyekat Iran, Malaysia juga akan rugi kerana kehilangan pasaran dagangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 4:06pm
d