mutakhir

Nestle salur bantuan makanan 50,000 keluarga dan mahasiswa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

INISIATIF kerajaan mewujudkan program Food Bank ternyata memberi impak positif kepada golongan B40 dan mahasiswa seluruh negara.

Justeru, pengeluar makanan dan minuman terbesar dunia, Nestle (Malaysia) Berhad tampil menyokong program berkenaan dengan berkolaborasi bersama Yayasan Food Bank Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, Nestle akan memberikan bantuan makanan bernutrisi kepada 50,000 keluarga B40 dan mahasiswa seluruh negara.

Menurutnya, program Food Bank ini mampu memberi manfaat kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat makanan yang berkhasiat.

"Kami berbangga dapat berkolaborasi dengan Yayasan Food Bank Malaysia dalam menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat negara ini yang kurang bernasib baik.

"Nestle juga percaya ini adalah cara lestari untuk berkongsi komitmen bersama Yayasan Food Bank Malaysia yang memainkan peranan positif kepada usaha mengurangkan pembaziran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Food Bank Malaysia dengan Nestle di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di Putrajaya, hari ini.

MoU selama dua tahun itu ditandatangani Juan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Abdul Wahab Long disaksikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Nestle, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Nestle akan memberikan sumbangan pelbagai makanan berkhasiat antaranya Milo, Nescafe dan produk sarapan Nestle.

Juan berkata, peningkatan kos sara hidup juga menyebabkan mahasiswa universiti terpaksa melakukan dua kerja selain perlu memberi tumpuan kepada pengajian.

"Kami menyokong dasar kerajaan yang dapat mahu mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan seimbang dalam pelbagai sudut.

"Rakyat yang sihat menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang berjaya," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 4:51pm
d