mutakhir

Minta kasut bola sehari sebelum meninggal dunia

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“ARWAH (Muhammad Shaharif) ada meminta saya membelikannya kasut bola malam kelmarin (Ahad). Sebelum ini, dia mahu meminjam kasut abangnya, Muhammad Ikhrwan yang berusia 18 tahun namun ia koyak.

“Saya terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaannya dan kata-katanya itu masih terngiang-ngiang di telinga hingga hari ini,” kata Mohd Sarbaini Kamarul Baharin, 50.

Mohd Sarbaini adalah bapa kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sungai Besar, Muhammad Shaharif, 16, yang meninggal dunia selepas menyertai latihan merentas desa, semalam.

Pada kejadian jam 4.15 petang, Muhammad Shaharif yang menjalani latihan sejauh 3.8 kilometer pengsan dalam kawasan sekolah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar sebelum disahkan meninggal dunia.

Mohd Sarbaini yang menetap di Parit Lapan Barat berkata, Muhammad Shaharif sempat bersembang dengannya dan memintanya membelikan kasut bola.

“Muhammad Shaharif nampak pelik malam sebelum kejadian. Biasanya, dia serius tetapi malam itu, dia bergurau dengan saya.

“Saya tanya Muhammad Shaharif jika dia inginkan sesuatu, dia tersenyum dan memaklumkan mahu kasut bola baru untuk digunakan sewaktu pemilihan pemain pasukan bola sepak sekolahnya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurut Mohd Sarbaini, anaknya itu aktif dalam sukan dan mewakili sekolahnya ke peringkat negeri dalam sukan kriket.

“Kami cukup bangga dengan pencapaiannya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Dalam pada itu, Mohd Sarbaini turut menceritakan detik akhir Muhammad Shaharif yang sempat menamatkan latihan merentas desa dan menduduki tempat keempat.

“Kawan Muhammad Shaharif memaklumkan pada saya, selepas selesai latihan (merentas desa), Muhammad Shaharif terus mendapatkan air sebelum baring di beranda surau.

“Pada awalnya, kawannya menyangka yang Muhammad Shaharif penat namun terkejut apabila mendapati dia tidak sedarkan diri.

“Guru sekolah Muhammad Shaharif menghubungi saya dan memaklumkan dia pengsan selepas latihan itu dan sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar,” katanya.

Jenazah Muhammad Shaharif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap, jam 10.20 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 5:19pm
d