mutakhir

Polis lupus 637 komputer, 19,063 DVD dan VCD

Oleh Poliana Ronnie Sidom

SEBANYAK 637 komputer dan 19,063 cakera video digital (DVD) dan cakera pada video (VCD) dilupuskan di stor eksibit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Semua barang terbabit yang dianggarkan bernilai lebih RM150,000 adalah hasil rampasan sejak 2003 hingga 2015 di sekitar daerah ini, Beluran dan Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata bagi kes rampasan VCD dan DVD, ia membabitkan 31 kes serbuan dengan semua tertuduh sudah dihukum Akta Penapisan Filem 2002.

“Bagi kes rampasan komputer pula, ia membabitkan 37 kes mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Siasatan sudah selesai serta pesalah menjalani hukuman dan mahkamah mengarahkan eksibit ini dilupuskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, pihaknya komited untuk memastikan kes judi diambil tindakan serius dan melaksanakan pelupusan mengikut prosedur ditetapkan untuk mengelak lambakan barang kes di stor sekali gus memberi bebanan kepada polis.

“Kita juga mengikut nasihat alam sekitar dengan mengelak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran untuk melupuskan barangan eksibit, sebaliknya ditimbus,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 6:25pm
d