mutakhir

Terus kekalkan perpaduan dan keharmonian

Oleh Azzman Abdul Jamal

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan seluruh rakyat supaya berasa megah sebagai satu bangsa Malaysia dan sentiasa mencari titik kebersamaan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian yang berkekalan.

Baginda bertitah, semua pihak perlu terus memastikan negara ini bebas daripada kekacauan, huru-hara serta gejala yang boleh menggugat keamanan kerana kedaulatan negara yang dikecapi hari ini tidak datang secara bergolek.

Titah baginda, rakyat kini mampu berfikir secara matang dan rasional dalam mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan, pergolakan, konflik yang berlarutan dan kekacauan yang berlaku di negara lain seperti tiada kesudahan.

“Berhati-hatilah dalam apa yang kita perjuangkan. Jangan terlalu taksub berjuang sehingga lupa nilai-nilai murni masyarakat dan sensitiviti kaum lain.

“Beta menyeru semua rakyat supaya semangat kebersamaan diperkuatkan supaya keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Salah satu kaedah utama untuk mengekalkan perpaduan ialah memberi pendedahan awal kepada generasi muda untuk bercampur dan bergaul dalam kalangan sahabat pelbagai bangsa,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.

Turut mencemar duli Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan pimpinan pentadbiran Negeri Sembilan.

Selain itu, baginda bertitah, masyarakat hari ini juga perlu memberi lebih penekanan untuk mengetahui dan memahami amalan serta budaya antara satu sama lain.

“Rakyat Malaysia sewajarnya turut serta memeriahkan sebarang sambutan perayaan atau hari kebesaran antara kaum dengan cara sesuai.

“Selain itu, amalan saling membantu tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama turut penting diamalkan kerana ia akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan sesama rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah, seiring dengan langkah mendepani cabaran tahun baharu ini, kepimpinan kerajaan dan jentera pentadbiran Negeri Sembilan diingatkan supaya lebih berwibawa dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Dalam apa jua situasi, suasana dan keadaan, kepimpinan kerajaan negeri diharap sentiasa tekad mempergiatkan komitmen dan khidmat bakti ke arah tadbir urus yang lebih mantap serta berkesan.

“Teruskanlah dengan momentum kejayaan terbaik dan perbaikilah kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan rakyat berpeluang menikmati manfaat hasil kesempurnaan rencana pembangunan sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk menjalani kehidupan seharian dalam keadaan lebih makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Pada masa sama, Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya mencapai kutipan hasil negeri sebanyak RM556 juta pada 2019, melepasi sasaran RM430 juta yang ditetapkan.

“Melangkah ke tahun 2020, satu lagi pencapaian yang membanggakan ialah penggabungan Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Pengiktirafan ini jelas mencerminkan kemajuan dan kematangan pentadbiran serta pengurusan dengan julung kalinya pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya diwujudkan di Negeri Sembilan.

“Beta amat berharap, sebagai PBT berstatus bandar raya, pentadbiran MBS bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar dengan sentiasa memastikan kualiti kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan setara dengan pengiktirafan yang diperoleh,” titah baginda.

Pada istiadat kali ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SNSS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 6:51pm
d