mutakhir

Polis Selangor rampas syabu bernilai RM2.1 juta

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Selangor merampas 40 bungkusan dadah dipercayai jenis syabu seberat 42 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang ditemui dalam sebuah kenderaan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan jam 8.45 malam itu, pihaknya memberhentikan tiga kereta iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Honda Jazz dan Perodua Myvi dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Thailand masing-masing berusia antara 27 hingga 39 tahun.

“Kita kemudiannya menemui 40 bungkusan teh cina dalam MPV berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu adalah dadah dipercayai jenis syabu.

“Ketiga-tiga kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari selatan menuju ke utara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, selain merampas MPV itu, pihaknya turut menyita dua lagi kenderaan lain bersama wang tunai sebanyak RM127,725.

“Kita juga menemui wang tunai dalam mata wang Thailand 7,920 Baht (RM1,066) serta 11 jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM31,000. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan sebanyak RM259,791.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak lapan bulan lalu. Belum dapat dipastikan sama ada bekalan dadah yang dapat dibekalkan kepada 84,000 penagih itu adalah untuk pasaran tempatan atau luar negara,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis syabu.

“Semakan kita juga mendapati, seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan judi, curi dan kes dadah,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 7:08pm
d