mutakhir

Warga emas ditemui rentung

Oleh Balqis Jazimah Zahari

LELAKI warga emas ditemui dalam kebakaran di bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Lahat, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mayat mangsa, N Mahgalingam, 71, ditemui di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.12 petang.

Menurutnya, 53 anggota termasuk pegawai dan jentera dari BBP Ipoh, BBP Pasir Putih, serta BBP Simpang Pulai dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan PBS Bercham dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran membabitkan kedai tiga tingkat yang terbakar 75 peratus.

“Terdapat seorang mangsa terperangkap dan mayatnya ditemui pada 7.45 malam di tingkat bawah bahagian tengah bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 11:41pm
d