mutakhir

Terlantar dua kaki membengkak

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan tepat menggambarkan penderitaan dihidapi wanita ini selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga pada Ogos tahun lalu.

Nurain Abdullah, 31, bukan sahaja menderita penyakit buah pinggang, malah turut menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) yang dikesan sejak lima tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pembantu rumah di Gua Musang namun terpaksa berhenti disebabkan penyakit buah pinggang dan kini hanya terlantar selepas kedua-dua belah kakinya mula membengkak.

“Kini saya perlu bergantung sepenuhnya kepada keluarga selepas digantung tidak bertali oleh suami dan pada masa sama perlu menanggung seorang anak, Muhammad Aiman Abd Rahman berusia empat tahun.

“Sejak sakit, perbelanjaan bulanan sebanyak RM500 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta kos perubatan lain ditanggung ayah, Abdullah Hussin, 55, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Jika boleh saya tidak mahu membebankan ayah, tetapi saya tidak terdaya dan pada masa sama, adik beradik lain bukan dalam kalangan orang senang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerawang, Machang.

Nurain yang juga anak kedua daripada sembilan beradik berkata, pada September tahun lalu dia menjalani beberapa sesi rawatan kemoterapi selepas doktor mengesan terdapat kebocoran di bahagian buah pinggangnya.

Menurutnya, bagi menyembuhkan penyakit dihidapi, selain mendapatkan rawatan di hospital, keluarga ada membawanya mencuba rawatan alternatif.

“Setiap tiga kali sebulan saya perlu menghadiri temujanji di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu untuk berjumpa pakar bagi mengetahui perkembangan semasa penyakit dihidapi.

“Buat masa ini, saya tidak mendapat bantuan bulanan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan bantuan dengan menghubungi Abdullah di talian 011-29246037.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 11:40am
d