mutakhir

Huffaz lebih hebat di Selangor

Oleh Norzamira Che Noh

SERAMAI 68 qari dan qariah dari sembilan daerah di negeri ini menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Selangor yang bermula malam tadi sehingga Jumaat ini.

Seramai 51 peserta menyertai pertandingan menghafaz yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu hafaz juzuk satu hingga 10, satu hingga 20 dan satu hingga 30 manakala 17 lagi adalah peserta tilawah.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu adalah acara rasmi kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan kecintaan masyarakat Islam seterusnya memberi peluang kepada umat Islam untuk mendalami mukjizat al-Quran.

“Majlis ini juga adalah satu usaha murni dalam menyuburkan kembali penghayatan kita terhadap al-Quran yang menjadi rujukan dan panduan utama umat Islam.

“Selain itu, untuk memperkukuhkan lagi syiar Islam, kerajaan negeri mengambil peduli keperluan menyemarakkan sistem pendidikan Islam di negeri ini dengan meluluskan peruntukan bagi tujuan pembangunan sekolah agama Islam termasuk maahad tahfiz, pembayaran gaji guru KAFA serta kakitangan kontrak bagi sektor pendidikan.

“Semoga dengan peruntukan yang disalurkan ini dapat melahirkan lebih ramai generasi huffaz dan rabbani yang bakal menerajui kepimpinan pentadbiran Islam yang unggul pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri di sini, malam tadi.

Beliau berkata, selain peruntukan untuk program pendidikan agama, kerajaan negeri juga mengambil serius nasihat serta titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar pelajar aliran agama juga diseimbangkan dengan pendidikan akademik yang lain.

Katanya, pelajar aliran agama juga perlu mahir berkomunikasi dan menonjol supaya mereka bukan sahaja berjaya sebagai seorang huffaz (hafal al-Quran) tetapi boleh menjadi jurutera, akauntan dan sebagainya.

Selain itu, Amirudin berharap peserta program berkenaan dapat menunjukkan prestasi yang baik seterusnya mewakili Selangor di Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, dengan peruntukan dan program yang dirangka, huffaz yang berada bawah sistem Bahagian Pendidikan Islam JAIS tidak lagi ketinggalan dalam sudut akademik.

“Mereka adalah aset penting yang bakal menyumbang kepada pembinaan negara bangsa pada masa akan datang.

“Antara program yang dirangka adalah, JAIS akan melaksanakan moderasi kurikulum dan kokurikulum tahfiz Selangor.

“Program rintis menggunakan kurikulum moderasi ini akan bermula Februari tahun ini dan kesemua pusat tahfiz di negeri ini dijangka akan mengguna pakai kurikulum moderasi ini,” katanya.

Tamat

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 2:01pm
d