mutakhir

Sindiket dadah kurier tumpas [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin

SINDIKET pengedaran dadah dikesan menggunakan khidmat syarikat kurier untuk menghantar bekalan di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar dalam serbuan polis di tiga kediaman berasingan di sekitar Kepong, Sentul dan Selayang, pada kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan bermula jam 8 malam hingga 1 pagi itu, 1.5 tan dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM144.9 juta dirampas selain penahanan sembilan individu termasuk dua wanita.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah rumah teres di Desa Park City, serbuan kedua di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, Selayang dan serbuan ketiga pula bertempat di Desa Park City.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menemui 309.76 kilogram (kg) syabu, 12.7 kg heroin base, 637.72 kg pil ekstasi, 564.83 kg pil erimin 5, 3.4 kg ketamin, 6.5 kg kokain dianggarkan berjumlah RM144.9 juta yang boleh dibekalkan kepada 6.5 juta penagih di tiga kediaman berkenaan.

“Kami menahan tujuh lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 50 tahun selain merampas dua pucuk pistol bersama 150 peluru dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan, wang tunai RM17,080, wang tunai mata wang asing iaitu 300 USD (RM1,200) dan 50 Brunei Dollar (RM150) selain jam tangan serta pelbagai barang kemas dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM400,330.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini yang juga antara sindiket terbesar di Lembah Klang dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan menjadikan unit kediaman sebagai tempat menyimpan bekalan sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan dan luar negara iaitu negara jiran.

“Berdasarkan penemuan parcel daripada beberapa syarikat kurier, kami mendapati sindiket ini menggunakan khidmat kurier bagi menghantar bekalan kepada pembeli dalam negara dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada sembilan suspek terbabit masing-masing mempunyai enam rekod jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia didapati positif methaphetamin, ketamin dan benzo.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 116 syarikat kurier di seluruh negara bagi membincangkan mekanisme terbaik dan menjalinkan kerjasama bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah.

“Hasil rampasan dan tangkapan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan memanggil 116 syarikat kurier, esok, untuk berbincang mengenai mekanisme terbaik untuk mengekang kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan khidmat mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 2:09pm
d