mutakhir

Sudah kenyang, tak boleh bergerak

Oleh Adnan Ibrahim

DUA beradik cemas selepas terserempak seekor ular sawa sepanjang kira-kira tujuh meter di kebun kelapa sawit milik mereka di Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam, petang semalam.

Fais Misman, 29, berkata ketika kejadian pada 4.55 petang itu, dia bersama adiknya, Hafis, 27, sedang membersihkan kebun sebelum terlihat kelibat satu objek panjang di dalam rimbunan semak kering tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

Katanya, untuk memastikan objek berkenaan, adiknya menyelak rimbunan semak kering itu sebelum menjerit ketakutan apabila ular sawa itu bergerak untuk melarikan diri.

“Namun akibat kekenyangan selepas dipercayai menelan anak khinzir, ular berkenaan hanya mampu menggerakkan kepalanya dan kami merasa lega kerana tahu ia tidak membahayakan.

“Melihat keadaan itu, saya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam untuk mendapatkan bantuan bagi menangkap ular berkenaan kerana bimbang jika dibiarkan akan membahayakan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Maznan Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 4.59 petang sebelum menghantar sebuah jentera bersama 10 anggota ke lokasi dimaklumkan.

Beliau berkata, ular sawa seberat kira-kira 80 kilogram (kg) itu ditemui kira-kira 500 meter dari Jalan Utama (Jalan Ayer Hitam - Johor Bahru) sebelum kerja menangkap reptilia itu dilakukan.

“Kami tidak menghadapi kesukaran untuk menangkap ular berkenaan kerana sudah kekenyangan dan mengambil masa 20 minit sebelum ia dimasukkan ke dalam sangkar khas.

“Ular sawa itu kemudian dilepaskan di kawasan hutan di Kahang yang jauh dari penempatan penduduk sebelum operasi ditamatkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 2:18pm
d