mutakhir

Mereka nak makan burger pun susah. Kita?

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA hanya makan separuh burger itu dan separuh lagi nak bawa pulang untuk adik,” kata Nor Aina Damia Aziz, 9, dari Sekolah Kebangsaan Besut (SKB) Setiu.

Nor Aina memberi reaksi itu ketika ditemui pada program Berkat Kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu dan McDonald’s Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Murid Tahun Tiga itu berkata, dia pertama kali berpeluang menikmati juadah yang disediakan McDonald’s dan berasa sangat gembira.

“Saya menggemari semua set hidangan disediakan termasuk ayam, kentang dan burger McDonald’s itu.

“Jika ikutkan hati, saya ingin menghabiskan burger yang disediakan itu, tetapi teringatkan adik (Akil Dayan Aziz, 4) di rumah.

“Adik juga tidak pernah makan burger McDonald’s sebab itu saya simpan sebahagiannya untuk dibawa pulang dan berikan kepada adik,” katanya.

Program Berkat Kasih itu turut dihadiri Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Pengurus McDonald’s Kuala Terengganu, Wan Muhairyzal Wan Muda.

Bercerita mengenai keluarganya, Nor Aina berkata, ibunya, Syafida Che Seman, 30, mengalami sakit kaki kanan akibat kemalangan, manakala bapanya, Aziz Nor, 30, berkerja sendiri.

“Saya tinggal di pedalaman dan jauh dari bandar sebab itu masih tidak berpeluang untuk datang ke Restoran McDonald’s.

“Selepas ini jika ada rezeki, saya ingin mengajak ayah dan mak datang ke Restoran McDonald’s itu lagi,” katanya.

Menurutnya, dia berasa sangat teruja apabila dipilih sebagai salah seorang peserta pada program berkenaan.

“Selain menikmati juadah yang disediakan, peserta juga dihiburkan McDonald’s dengan pelbagai permainan sukaneka.

“Berasa tidak puas bermain sukaneka disediakan Restoran McDonald’s pada program itu,” katanya.

Kaseh Ranieya Abdul Malik, 11, dari SK Kuala Berang pula berkata, dia sudah lama teringin untuk makan burger yang disediakan McDonald’s.

“Selalu melihat iklan di televisyen sahaja, tidak mampu untuk datang sendiri bagi menikmati makanan di McDonald’s itu.

“Melalui program itu saya berpeluang menikmati burger, ayam goreng dan kentang, selain turut diberikan barangan permainan McDonald’s.

“Saya berasa sangat gembira menyertai program yang dianjurkan itu,” katanya.

Sementara itu Wan Muhairyzal berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan APM bagi meraikan semua murid kurang bernasib baik yang terbabit.

“Seramai 46 murid daripada enam sekolah dari semua daerah kecuali Kemaman dan Besut diraikan pada program itu.

“Seronok tetapi hati tersentuh apabila melihat gelagat murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan menikmati juadah disediakan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan program berkonsepkan kemasyarakatan itu dari masa ke semasa bagi meraikan golongan yang kurang berkemampuan.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 3:28pm
d