mutakhir

Rosol Wahid tawar bertanding ketua bahagian

Oleh Baharom Bakar

AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menawarkan diri untuk bertanding ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, Rosol yang juga bekas Setiausaha UMNO negeri dan menganggotai BERSATU Disember 2018 menegaskan supaya tiada pertandingan bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.

“Saya bersetuju dan menawarkan diri bertanding jawatan utama di peringkat bahagian selepas mendapat desakan ahli parti di peringkat akar umbi.

“Dengan kesediaan ini, saya meminta agar tidak berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan ahli,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, hari ini.

Rosol berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa bekas pemimpin UMNO yang kini BERSATU, membayangkan tidak menawarkan diri pada pemilihan parti itu tetapi bersikap terbuka jika nama mereka dicalonkan untuk bersaing di peringkat bahagian atau pusat.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian BERSATU akan diadakan mulai 15 Februari hingga 18 April ini, manakala Mesyuarat Agung Tahunan parti dijadual diadakan mulai 26 hingga 28 Jun.

Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada rasuah dibenarkan bertanding.

Rosol yang juga bekas EXCO kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu itu selepas dimaklumkan ketua BERSATU bahagian Hulu Terengganu, Mohd Nuhairi Muhammad tidak akan bertanding.

“Jika berlaku pertandingan, saya meminta semua ahli BERSATU mengutamakan perpaduan untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 3:29pm
d