mutakhir

Maut rempuh belakang lori

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PERJALANAN pekerja syarikat pembuatan kereta pulang ke rumahnya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang merempuh belakang lori di Kilometer 15.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), arah Kundang ke Puncak Alam, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi, mangsa, Mohamad Firdaus Hasim, 28, maut serta-merta di lokasi kejadian.

Selain mangsa, seorang lagi penunggang motosikal, Khuzaifah Mustar, 33, turut cedera ringan manakala pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR dan lori Volvo.

Kata Azman, Yamaha Y15ZR ditunggang Mohamad Firdaus melanggar belakang lori yang sedang bergerak mendaki bukit di lorong kiri.

"Tidak lama kemudian muncul sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR dari arah sama cuba mengelak kemalangan itu namun terjatuh selepas gagal mengawal kenderaan.

"Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, Rawang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, mangsa dipercayai baru selesai bekerja syif malam di Sungai Choh dan dan dalam perjalanan pulang ke Bandar Tasik Puteri.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 3:52pm
d