mutakhir

PRK Kimanis: BN didakwa bawa politik perkauman

Oleh Rafiqah Dahali

PEMUDA Parti Amanah Negara (AMANAH) menempelak jentera kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Barisan Nasional (BN) yang tidak selari dengan budaya masyarakat Sabah khususnya di kawasan itu.

Ketua Pemuda AMANAH Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendakwa cara kempen BN bersifat ekstrem dan perkauman.

“Kempen BN yang bersifat ekstrem dan berbaur perkauman dalam PRK Kimanis ini menjejaskan keharmonian sedangkan masyarakat Sabah hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum serta agama.

“Bukan itu sahaja, pemimpin BN dari Semenanjung seperti Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Seri Mohammad Hassan dan ramai lagi menggelar Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebagai parti pendatang tanpa izin.

“Penghinaan ini adalah keterlaluan terhadap parti tempatan yang diangkat menjadi kerajaan negeri,” katanya ketika sidang media di Pejabat WARISAN Kimanis di Kimanis Centro hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, BN seakan-akan kehabisan modal kempen dengan memainkan isu Pas Sementara Sabah (PSS).

“BN sebenarnya kehabisan modal kempen apabila berulang kali memainkan isu PSS walaupun sudah diterangkan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Mereka (BN) menabur fitnah secara jelas dengan menyatakan PSS akan menyebabkan lambakan pendatang tanpa izin di Sabah sedangkan hakikatnya BN yang memerintah lebih 30 tahun menjadi punca lambakan golongan terbabit.

“Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman membuktikan PSS dijalankan sejak BN memerintah melalui minit mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahamd Zahid dan dihadiri Datuk Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu.

“Kini mereka pula membantah PSS yang telah mereka laksanakan,” katanya.

Hasnul Zulkarnain meminta pengundi Kimanis dan seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhan menolak politik berbentuk perkauman.

“Saya meminta bukan sahaja pengundi Kimanis malah seluruh rakyat Malaysia wajib untuk menolak politik perkauman.

“Ini akan menjadi punca keharmonian terjejas dan tumpuan kita untuk membina negara Malaysia baharu akan lari,” katanya.

Beliau menyatakan pihaknya akan menyokong penuh segala perancangan kerajaan negeri yang bermanfaat untuk negeri Sabah.

“Pihak saya memberi sokongan penuh perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan antaranya adalah cadangan untuk mewujudkan loji pemprosesan gas di Kimanis.

“Saya difahamkan gas asli itu disedut di perairan Kimanis dan pemprosesannya dihantar ke Bintulu, Sarawak.

“Jika projek seumpama ini dilaksanakan, akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda di samping meningkatkan ekonomi.

“Selain sektor industri perkilangan atau industri berat, sektor pelancongan di Kimanis juga berpotensi besar dan harus diketengahkan. Anak muda perlu lebih kreatif merebut peluang sebegini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 4:17pm
    d