mutakhir

Tahan 33 PATI cuba masuk, keluar negara

Oleh Adnan Ibrahim

SERAMAI 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia berjaya ditahan ketika cuba masuk dan keluar dari negara ini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedeli, tengah malam tadi.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedeli, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, tangkapan pertama membabitkan 12 lelaki dan lima wanita di persisiran pantai Desaru pada 12 tengah malam.

Katanya, mereka ditahan selepas pasukan rondaan APMM membuat rondaan di perairan itu terserempak dengan sebuah bot pancung mencurigakan.

“Namun bot pancung terbabit melarikan diri ke perairan antarabangsa selepas menurunkan PATI di pantai berkenaan.

“Dalam pada itu, sekitar jam 12.45 malam, pasukan sama menemukan 11 lelaki serta lima wanita yang bersembunyi di dalam hutan berhampiran tempat yang sama dipercayai dalam cubaan keluar dari negara ini ke Indonesia,” katanya.

Mohd Zulfadli berkata demikian dalam sidang media di Markas Zon Maritim Tanjung Sedeli di Kota Tinggi hari ini.

Katanya, semua PATI berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu cuba masuk atau keluar dari Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang 2019, pasukan itu berjaya melakukan empat tangkapan membabitkan 117 PATI manakala pada 2018 seramai 125 PATI ditahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 5:51pm
d