mutakhir

'Dari Dungun kami datang...'[METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

REMAJA lelaki berusia 17 tahun yang juga joki antara 10 individu ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Nilai, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Operasi JSPT (RO) Bukit Aman membuat risikan di lokasi perlumbaan iaitu di Kilometer (KM) 25.6 hingga 24.6 KM lebuh raya berkenaan (arah selatan) pada 11 malam kelmarin.

“Hasil intipan dilakukan, terdapat beberapa kumpulan motosikal serta tiga kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan kereta Toyota Vios dinaiki sembilan lelaki berkumpul di lokasi terbabit.

“Sepanjang risikan sehingga tamat perlumbaan, anggota bertugas merakam aksi seperti Superman dilakukan sebagai bukti pendakwaan sebelum 10 individu termasuk dua joki berusia antara 17 hingga 36 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Azisman berkata, siasatan awal mendapati perlumbaan itu membabitkan dua kumpulan dari Dungun, Terengganu dan Negeri Sembilan membabitkan jumlah pertaruhan RM20,000.

“Pemeriksaan terhadap dua daripada 10 suspek terbabit menemui wang tunai berjumlah RM38,000 yang dipercayai wang pertaruhan bagi perlumbaan haram berkenaan.

“Selain wang tunai pertaruhan dan tiga kenderaan dinaiki semua suspek, kami turut merampas dua motosikal Yamaha 125Z yang diubah suai untuk perlumbaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, 10 suspek berkenaan direman selama empat hari bermula semalam hingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 8 akta sama.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan lumba haram diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 5:53pm
d