mutakhir

Lupus barang tiruan bernilai RM1.2 juta

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PELBAGAI barangan tiruan bernilai RM1.2 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, ia membabitkan 50 kes sitaan yang dilakukan KPDNHEP sepanjang tahun lalu dan mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.

“Barangan yang dilupuskan terdiri jam tangan, pakaian, minyak wangi, kasut, beg tangan, dompet, aksesori kereta, aksesori telefon bimbit, arak, gula dan minyak masak.

“Pelupusan barang itu membabitkan kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Pelupusan Ekshibit Siri 1/2020 di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di sini.

Barang rampasan itu dilupuskan dengan cara dimusnahkan yang turut dihadiri wakil cap dagang.

Ariffin berkata, berdasarkan rekod KPDNHEP sudah melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM5.9 juta membabitkan 275 kes sepanjang tahun lalu manakala 341 kes dengan rampasan bernilai RM7.2 juta (2018) dan 624 kes dengan rampasan bernilai RM11 juta (2017).

Beliau turut memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan tiruan dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang ditetapkan.

Caption:

1. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin melupuskan barangan tiruan yang dirampas pada Sesi Pelupusan Ekshibit Siri 1/2020 di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di sini, hari ini.

2. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin melihat barangan tiruan yang dirampas pada Sesi Pelupusan Ekshibit Siri 1/2020 di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 6:10pm
d