mutakhir

Stor dalang sabun tiruan diserbu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KERAP memalsukan produk terkemuka keluaran usahawan tempatan bagi mendapat keuntungan mudah melalui penjualan barangan tiruan.

Kegiatan licik itu dilakukan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang kerap diberkas pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak beberapa tahun yang lalu.

Terbaru, suspek diberkas sekali lagi semalam, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas dikesan memalsukan produk sabun jenama Cleo Secret keluaran syarikat Cleo Secret Sdn Bhd.

Sumber KPDNHEP berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan wakil pemilik dan intipan terhadap suspek yang kerap menjadikan produk tempatan sebagai sasaran cetak rompak.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota KPDNHEP Pulau Pinang di sebuah banglo milik suspek yang turut dijadikan stor penyimpanan barangan tiruan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui sebanyak 3,039 unit sabun Cleo Secret tiruan disimpan di kediaman itu.

“Siasatan lanjut percaya sabun Cleo Secret tiruan itu diimport dari negara luar.

“Suspek dipercayai mengaut keuntungan dengan menjual semula sabun itu kepada orang ramai pada harga jauh lebih rendah berbanding harga sebenar,” katanya.

Dia berkata, suspek mengaku membawa masuk sabun tiruan itu dari luar negara dengan modal sekitar RM8 bagi setiap sabun berkenaan.

“Sabun tiruan itu kemudian dijual pada orang ramai pada harga RM30 iaitu separuh dari harga dijual oleh syarikat pengedar tulen.

“Susulan itu semua produk tiruan itu dirampas dan suspek diambil tindakan mengikut Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki barangan tiruan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Cleo Secret Sdn Bhd Zubaidah Din menasihati pengguna supaya berhati-hati dengan kewujudan produk tiruan menyerupai produk tulen Sabun Cleo Secret.

“Menurutnya, secara fizikal sabun tiruan itu hampir 95 peratus menyerupai produk tulen. Namun penipuan ini terbongkar dengan cara melakukan imbasan pada QR Code hologram yang ditampal pada produk.

“Produk tiruan akan membawa pengguna ke laman web berbeza dengan laman web tulen syarikat kami,” katanya. Tambahnya lagi, pihak syarikat Cleo Secret akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual sabun tiruan Cleo Secret.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 8:56pm
d