mutakhir

Jumpa jasad ayah dalam parit

Oleh Melvin Joni

KEGUSARAN seorang anak apabila ayahnya tidak pulang malam tadi terjawab apabila lelaki itu ditemukan mati dalam parit di tepi Jalan Mambong di sini, semalam akibat dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Jasad Davimos Edem, 53, dari Kampung Seratau ditemukan oleh anaknya dalam keadaan cedera parah di kepala kira-kira jam 10 malam ketika keluar mencarinya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, bimbang ayahnya tidak pulang sehingga malam, anaknya kemudian pergi mencari sebelum menjumpai ayahnya tidak sedarkan diri di dalam parit.

“Anggota paramedik yang tiba mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, siasatan polis di tempat kejadian dengan dibantu penduduk kampung kemudian berjaya mengesan sebuah kenderaan yang melanggar mangsa.

Katanya, MPV terbabit dipandu oleh seorang pelajar perempuan berusia 20 tahun dan soal siasat yang dilakukan dia mengaku ada melanggar seorang pejalan kaki dari arah bertentangan sekitar jam 5.30 petang.

“Pelajar perempuan itu memberitahu dia cuba mencari mangsa yang dilanggarnya di lokasi kejadian namun tidak berjaya dan beredar selepas itu,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Manakala MPV berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan lanjut.

Disiarkan pada: January 15, 2020 @ 9:05pm
d