mutakhir

Produk babi Sepanyol dirampas

Oleh Rosyahaida Abdullah

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan mengimport produk babi bernilai lebih RM500,000 dari Sepanyol dalam satu operasi di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, Klang, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, penahanan dibuat susulan produk berkenaan didapati tidak mematuhi syarat import iaitu pembungkusan yang tidak mengikut ketetapan permit import serta tidak menepati ciri-ciri kebersihan.

“Operasi oleh pegawai penguat kuasa MAQIS ini berjaya menahan produk babi terbabit yang dianggarkan seberat 11,339 kilogram (kg) dan bernilai RM552,752.63.

“Ia ditahan kerana tidak mematuhi syarat import dalam permit yang ditetapkan MAQIS dan menjadi keutamaan MAQIS untuk sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi memastikan setiap kemasukan dagangan ke Malaysia adalah selamat dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 8:44am
d