mutakhir

Ketam bertaburan atas jalan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LEBIH 500 kilogram (kg) ketam hidup bertaburan di atas jalan raya selepas lori yang membawa hasil laut itu terbabas dan terbalik di Batu 4, Jalan Apas, di Tawau, semalam.

Pemandu lori terbabit, lelaki berumur 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian ketika lori dipandu lelaki itu dari arah Jalan Apas menuju ke Lapangan Terbang Tawau, kira-kira 8 pagi.

Katanya, apabila melalui buatan, lelaki itu dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang berada di hadapannya yang berhenti secara mengejut.

“Pemandu lori cuba mengelak ke arah sebelah kanan jalan menyebabkan dia hilang kawalan, sebelum lori yang sarat membawa muatan ketam itu terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Peter lagi, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang tidak menjaga jarak pemanduan ketika mengekori kenderaan di hadapan.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN59/166 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengutip ketam yang bertaburan itu.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 8:57am
d