mutakhir

Mangsa ketiga penculikan ASG berjaya diselamatkan

Oleh Juwan Riduan

SEORANG lagi mangsa culik warga Indonesia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu, September lalu, berjaya diselamatkan malam tadi.

Mangsa, Muhammad Farhan, 27, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan Filipina.

Susulan kejayaan itu, semua mangsa culik warga Indonesia yang diculik di perairan Geem Reef Tambisan, Lahad Datu, pada 23 September lalu berjaya diselamatkan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan Muhammad diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

"Kita masih berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Muhammad," katanya.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, 23 September lalu itu, Muhammad bersama dua lagi rakannya Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan dilaporkan diculik di perairan Lahad Datu, berhampiran sempadan selatan Filipina.

Bagaimanapun Maharudin dan Samiun berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi ketenteraan di Sulu, selatan negara itu, pada 22 Disember lalu.

Menurut sumber, sebaik saja mendapat maklumat, pasukan keselamatan melakukan pencarian sebelum menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata, sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Difahamkan, kedua-dua mereka sudah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 10:29am
d