mutakhir

PRK Kimanis: 29,619 pengundi jangka buang undi

Oleh Poliana Ronnie Sidom

SERAMAI 29,619 pengundi daripada 29,664 orang dijangka membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, baki 45 pengundi lagi menunaikan tanggungjawab itu secara undi pos dan undi awal.

Katanya, sembilan orang melakukan pengundian awal pada Selasa lalu, 35 orang pula mengundi pos, manakala seorang pengundi pos tidak berbuat demikian.

Beliau menasihati pengundi supaya merancang masa dan keluar awal bagi mengelak kesulitan apabila mengundi pada saat akhir.

“Bagi pengundi yang sudah menerima Kad Pengundi atau yang mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi, tanpa perlu membuat semakan di barung semakan SPR.

“Pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kemungkinan sudah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka harus membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, semakan boleh dibuat menerusi portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my atau menggunakan aplikasi MySPR Semak, mahupun menghubungi talian SPR 03-8892 7018.

Boleh juga menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip SPR

“Ketika membuat semakan, pengundi perlu mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Kita juga minta pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran.

“Ia penting untuk membantu kelancaran proses pengundian. Waktu mengundi bermula 7.30 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Azhar mengingatkan pengundi agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 11:28am
    d