mutakhir

TNB bukti Dasar Penswastaan Negara berjaya [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TENAGA Nasional Berhad (TNB) membuktikan Dasar Penswastaan Negara membawa manfaat kepada rakyat kerana memperoleh perkhidmatan dan produktiviti yang lebih baik dalam pembekalan elektrik.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sekali gus membolehkan pelbagai kejayaan diperoleh TNB yang kini menjadi syarikat utiliti bertaraf dunia.

Menurutnya, kejayaan TNB kini juga disebabkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan yang berani melawan arus dan cekal mengejar cita-cita.

“Saya ingin tekankan bahawa TNB berjaya mencapai peringkat ini kerana berani melakukan perubahan yang kadangkala melawan arus.

“TNB juga semakin dikenali di luar negara dengan pembabitan dalam bidang penjanaan di seberang laut termasuk United Kingdom dan Turki.

“Bank Dunia dalam laporannya Doing Business 2020 menyatakan Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga keempat bagi urusan mendapatkan elektrik berbanding kali pertama dinilai pada 2011 yang mana kita berada di tangga ke-60,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat TNB sempena Ulang Tahun ke-70 TNB, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Kompleks Balai Islam An-Nur yang mampu memuatkan 2,850 jemaah itu adalah sebahagian daripada program pembangunan semula tanah di Ibu Pejabat TNB dan mula dibina sejak 2017 bagi menggantikan binaan lama berkonsepkan kesederhanaan, inklusif dan alam sekitar.

Beliau berkata, lebih 60 peratus saham TNB dipegang pelbagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan berkenaan yang bayaran dividen bukan saja dinikmati pelabur tetapi rakyat yang mendapat faedah daripada caruman dan simpanan masing-masing.

“Kini TNB pasti sedang memberi perhatian kepada fasa transformasi Industri Bekalan Elektrik Malaysia 2.0 (MESI 2.0) yang hakikatnya banyak peluang terbuka luas sempena liberalisasi pasaran dan penjanaan di bawah MESI 2.0,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 1:27pm
d