mutakhir

Tumpu 37 lokasi panas di Kedah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS memberi tumpuan di 37 lokasi panas di Kedah sepanjang Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baru Cina untuk mengurangkan kemalangan ketika musim perayaan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Muhamad Azlee Abdullah berkata, ia terdiri enam lokasi di Kota Setar, Kuala Muda (5), Baling (3), Kulim (3), Bandar Baharu (3), Kubang Pasu (3), Langkawi (2), Padang Terap (5) Pendang (4), Sik (1) dan Yan (2).

Katanya, antara lokasi terbabit adalah di Jalan Alor Setar-Sungai Petani (Kota Sarang Semut), Jalan Alor Setar-Butterworth, Jalan Gurun-Jeniang, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam, Jalan Alor Setar-Kangar, Jalan Bandar Baharu-Serdang-Kulim selain sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam ke Bandar Baharu.

Katanya, kebanyakan lokasi itu membabitkan jalan kampung, jalan persekutuan dan Lebuhraya Utara Selatan.

“Kita jangka ramai yang akan pulang ke kampung pada perayaan Tahun Baru Cina tahun ini dan menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya.

“Kompaun RM300 akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan iaitu memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, langgar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan dan perangkap kelajuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Op Selamat 16/2020 di perkarangan sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Hadir sama, pelbagai agensi penyelamat dan pasukan keselamatan yang bertugas sepanjang ops itu bermula Sabtu ini hingga 1 Februari depan.

Muhammad Azlee berkata, seramai 720 anggota polis dibekukan cuti untuk memberi tumpuan pada operasi berkenaan.

Katanya, beliau meminta orang ramai berhati-hati di jalan raya, mendapat rehat mencukupi selain tidak tergopoh-gapah untuk cepat sampai ke destinasi.

“Mereka perlu merancang perjalanan dengan baik sebelum memandu dan berhenti rehat jika mengantuk bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 2:30pm
d