mutakhir

Restoran Arab popular diserbu

Oleh Zuhainy Zulkiffli

RESTORAN Timur Tengah popular di Lebuh Chulia, Georgetown yang menggajikan pekerja warga asing diserbu dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam semalam.

Malah, beberapa pelanggan yang sedang menikmati hidangan makan malam juga terpinga-pinga ketika serbuan oleh sepasukan anggota penguat kuasa JIM Pulau Pinang, jam 9 malam.

Pengarah JIM Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan berhubung pekerja asing tanpa permit sah bekerja di premis itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua pekerja warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain turut dikesan menyalahgunakan pas lawatan.

“Restoran itu menggunakan beberapa pekerja terdiri tukang masak asing tanpa mengikut peraturan ditetapkan.

“Seramai 23 pekerja asing ditahan dalam serbuan itu terdiri tiga lelaki warga Syria, Bangladesh (15), Yaman (1) dan Pakistan (1), manakala seorang wanita warga Indonesia,” katanya.

Menurutnya, kesemuanya berusia antara 20 hingga 45 tahun dibawa ke pejabat JIM Pulau Pinang bagi proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan di Juru.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 3:56pm
d