mutakhir

Kos haji dijangka naik?

Oleh BERNAMA

SYARIKAT yang mendapat lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) memastikan kos mengerjakan haji negara ini pada tahap yang munasabah, di sebalik jangkaan peningkatan kos pengurusan haji.

Difahamkan, kos mengerjakan haji dijangka meningkat berikutan jemaah haji perlu mengambil beberapa insurans di Malaysia dan Arab Saudi, bermula 1 Januari lalu.

Pengarah Urusan Rayhar Travels Sdn Bhd, Harun KC Ahmmu berkata, pada musim haji lalu, kos paling rendah dikenakan syarikatnya antara RM25,000 hingga RM26,000 seorang.

Beliau berkata, kos dikenakan itu munasabah, mengambil kira kos mengerjakan haji dengan berada di Tanah Suci selama 42 hari, margin keuntungan diperoleh syarikat juga munasabah berbanding kos sebenar.

“Kita mula dulu pada 1991, kos dikenakan lebih kurang RM6,000 seorang. Peningkatan daripada kos penginapan, makan minum, pengangkutan, cukai dan terbaru insurans buat semua jemaah.

“Dalam konteks ini, kos tambahan itu berlaku tetapi kos haji yang (PJH) tawarkan dipastikan munasabah dan keuntungan diperoleh (PJH) munasabah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Syarikat PJH agensi pelancongan diberikan kebenaran Tabung Haji (TH) mengurus ibadat haji bagi jemaah memilih mengerjakan haji menerusi kemudahan disediakan syarikat.

Pun begitu, jemaah terbabit tidak memperoleh bantuan haji diberikan TH, yang mana ini dilaporkan memberikan penjimatan kos sekitar RM80 juta untuk TH pada musim haji 2018.

Pada 10 Ogos lalu, Bernama melaporkan Pengarah Operasi (PJH) TH, Mat Admara Alang Azizdin sebagai berkata, sehingga tarikh itu, sebanyak 22 syarikat mempunyai lesen PJH sah dan seramai 6,140 jemaah haji memilih untuk mengerjakan haji menggunakan pakej, ditawarkan syarikat itu.

Mat Admara menjelaskan TH hanya mengenakan kos perkhidmatan RM500 seorang untuk jemaah haji menerusi PJH, namun menegaskan TH tidak memperoleh sebarang keuntungan bagi jemaah yang memilih mengerjakan haji dengan syarikat PJH.

Harun berkata, syarikat diberikan PJH diberikan peraturan perlu dipatuhi oleh TH dalam menyediakan kemudahan buat jemaah haji, dalam memastikan setiap syarikat terbabit menjaga kebajikan jemaah dengan baik, terutama daripada segi penginapan, makan minum dan perjalanan.

“TH sebagai badan kawal selia, tetapkan peraturan dan pantau dengan baik bagi pastikan tiada jemaah teraniaya.

“Ini penting bagi pastikan jemaah haji Malaysia, tidak jadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab,” katanya sambil menambah kata syarikatnya menguruskan lebih 30,000 jemaah haji.

Beliau berkata, jemaah haji perlu faham bahawa haji satu ibadat Rukun Islam kelima yang wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, dan untuk menunaikannya ia memerlukan pengorbanan.

Justeru, katanya, perkara seperti jumlah bantuan haji TH, tidak sepatutnya menjadi isu kerana mengeluarkan perbelanjaan bagi mengerjakan haji adalah tanggungjawab jemaah itu sendiri.

“Ada jemaah tidak mahu bantuan haji kerana mahu mengerjakan haji dengan 100 peratus wang titik peluh mereka sendiri, ada juga menolak bantuan anaknya kerana mahu gunakan belanja sendiri mengerjakan ibadat haji.

“Dalam istitha’ah (mampu) kewangan, perlulah kita berlapang dada,” katanya yang diberikan lesen PJH oleh TH sejak 1991 .

Pengerusi Eksekutif Zahafiz Group Sdn Bhd Datuk Seri Zainal Abidin Yusof berkata, syarikatnya mengakui agak terbeban dengan kenaikan kos mengerjakan haji serta umrah setiap tahun, namun beliau menjelaskan pihaknya akan memastikan kos dikenakan kepada jemaah tidak membebankan.

“Kalau naikkan sangat harga orang tidak mahu pergi dengan kita, tetapi kalau kekalkan harga lama kos meningkat.

“Kita tiada pilihan untuk kurangkan margin keuntungan, dahulu dapat sekitar RM1,000 seorang (untung) tetapi sekarang RM500 sahaja,” katanya yang memperoleh lesen PJH pada 2005.

Ditanya mengenai kos haji RM9,980 dikenakan TH kepada jemaah hajinya, beliau berkata, jumlah itu adalah kecil, dibandingkan dengan kos keseluruhan RM22,900, yang menunjukkan bantuan haji RM12,920 diberikan TH.

“Jika kita lihat tambang sahaja kos tambang sahaja sudah lebih RM7,000 itu belum dikira dengan makan, tempat tinggal dan kursus yang mana kita lihat kos bantuan haji itu terlalu banyak.

“Jumlah RM9,980 itu wajar dinaikkan kepada jumlah lebih relevan,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, bermula 1 Januari lalu, jemaah haji perlu mengambil beberapa insurans di Malaysia dan Arab Saudi.

Menerajui syarikat yang memperoleh lesen PJH pada 2006, beliau berkata, di Malaysia jemaah perlu mengambil insurans berkelompok dan persendirian, manakala di Arab Saudi insurans dikenakan untuk menjaga kepentingan di keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 4:01pm
d