mutakhir

Idlib diserang lagi [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SUKARELAWAN Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), yang baru tiba di Reyhanli, Turki dikejutkan dengan berita menyedihkan apabila wilayah Idlib, Syria sekali lagi dibom hari ini.

Walaupun Rusia mengumumkan genjatan senjata di Idlib Syria selepas perjanjian antara Rusia dan Turki baru-baru ini namun pergolakan di negara itu bagaikan belum bernokhtah.

Berita serangan terbaru itu diketahui sukarelawan sebaik tiba di Pejabat Muslim Care Turki, di Reyhanli, selepas dimaklumkan rakyat Syria yang juga wakil Muslim Care Turki.

Susulan itu, pasukan misi terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga kerana dijadualkan memasuki Syria bagi menyampaikan bantuan musim sejuk hari ini.

Perjalanan ke Idlib, Syria dari Reyhanli dijangka mengambil masa tiga jam dengan menaiki van melalui pintu masuk Afrin Ghus Azzaitun di sempadan Turki-Syria.

Sukarelawan dijadual menyerahkan bantuan kepada pelarian Syria selain bertemu dengan wakil kerajaan Turki yang berada di zon bencana.

Sebelum ini, Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Turki Recep Tayyip Erdogan di Istanbul berkaitan serangan yang berlaku di Syria.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pada Disember sahaja seramai 284,000 warga Syria terutamanya penduduk di selatan Idlib melarikan diri ke negara jiran termasuk Turki kerana kawasan didiami mereka dihujani puluhan siri pengeboman.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 4:13pm
d