mutakhir

Persiapan Tahun Baharu Cina hangus

Oleh Nor Farhani Che Ad

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina sebuah keluarga bertukar suram apabila persiapan dibuat musnah selepas rumah mereka terbakar di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, hari ini.

Menurut mangsa, Lim Sok Main, 42, dia menyedari kejadian itu selepas salah seorang rakannya berkongsi gambar rumahnya terbakar melalui kumpulan dalam aplikasi WeChat kira-kira 12.10 tengah hari.

Katanya, ketika kejadian, dia keluar bekerja manakala ahli keluarga lain tiada di rumah.

“Saya terkejut melihat gambar rumah saya terbakar dalam WeChat lalu terus pulang untuk melihat keadaan rumah.

“Apabila sampai, saya dapati rumah sudah terbakar hampir keseluruhan dan kesemua barangan termasuk persiapan Tahun Baru Cina juga musnah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 12.17 tengah hari.

Menurutnya, lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Aman Jaya dihantar ke lokasi dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Kebakaran membabitkan tiga rumah teres setingkat di mana sebuah rumah terbakar lebih 80 peratus, manakala dua rumah bersebelahan mengalami kerosakan 10 peratus.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 4:51pm
d