mutakhir

Ahmad Idham tak jadi berhenti, terus bersama Finas

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Tidak sampai dua bulan 'direhatkan', Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 46, kembali memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Idham tampil buat kali pertama pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor, hari ini.

"Saya mula bekerja pada 10 Januari lalu dan kembali menggalas tugas seperti diamanahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo," katanya kepada petugas media yang mengerumuninya sebaik majlis berakhir.

Idham dalam nada bersemangat berkata, fokusnya kini adalah menjayakan segala perancangan yang disusun untuk tahun ini.

"Saya akan terus bekerja dalam pasukan bersama lebih 300 kakitangan Finas bagi mencapai sasaran untuk 2020. Banyak lagi seminar dan acara yang akan diumumkan untuk kebaikan penggiat seni," katanya.

Menurut Idham, ketika berdepan ujian getir ini, dia menyerahkan segala perkara kepada ketentuan Allah.

"Saya sentiasa percaya perancangan Allah adalah yang terbaik. Selain itu saya tak boleh pentingkan diri kerana suara industri perfileman perlu didengari. Saya selalu meletakkan kepentingan itu di depan. Amanah yang diberikan bukan satu perkara ringan. Sudah pasti saya mahukan pembaharuan dan peningkatan buat penggiat seni," katanya.

Idham mengakui jawatan didudukinya adalah kerusi panas yang sering berdepan kontroversi dan sudah menjangka akan berdepan situasi sedemikian.

"Saya maklum ada ramai penggiat seni yang menyokong saya. Kadang-kadang apabila duduk dalam Finas, saya tak perasan apa yang saya buat cukup atau tidak. Dan, apabila ada penggiat seni sudah suarakan pandangan, saya rasa sangat bersyukur. Ia membuktikan saya berada di landasan terbaik.

“Paling saya risau adalah harapan mereka yang tinggi, tapi kami bukan Iron Man yang boleh buat semua benda dalam satu hari," katanya yang hanya mempunyai tempoh masa dua tahun untuk melaksanakan agenda ini.

Sebelum ini, Finas pernah mengeluarkan kenyataan memaklumkan Idham akan meninggalkan jawatan pada 10 Mac ini dan memohon supaya kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dipendekkan.

Kemuncaknya enam persatuan hiburan mengadakan sidang akhbar khas mendesak agar Idham dikembalikan ke jawatan ini semula.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, Idham berkata, apa yang berlaku adalah persepsi pihak luar.

"Ia isu persepsi. Agenda untuk menangani perkara ini bukan mudah. Setiap orang ada persepsi sendiri. Tak benar wujud dua kem dalam Finas. Apa yang boleh saya buat ialah mengendalikan isu ini sebaik mungkin.

"Kami bekerja secara profesional. Hans tetap Pengerusi Finas dan dia juga Pengarah Pengerusi Induk bagi Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 dan saya Pengerusi Pelaksana," katanya.

Menurutnya, mereka ada garis panduan yang harus diikuti dan tidak perlu mendengar kata-kata pihak luar. "Saya malas komen cakap-cakap yang tiada asas. Agak susah untuk saya layan semuanya. Secara nyata benda ini tak wujud. Kalau betul kami tak sebulu FFM pun tak jadi kenyataan. Kalau betul benda ini ada, datang jumpa saya dan saya akan selesaikan.

"Kami kawan dalam industri seni. Cabaran yang kami lalui biarlah kami selesaikan. Kami dah kenal lebih 20 tahun dan hubungan persahabatan itu sudah ada sejak sekian lama," katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 4:56pm
d