mutakhir

Bapa tiri dibebaskan tuduhan aniaya bayi

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

SEORANG bapa tiri dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, terhadap tuduhan melakukan penganiayaan menyebabkan bayi perempuan berusia 11 bulan termakan dadah, dua tahun lalu.

Hakim Norma Ismail, membuat keputusan itu terhadap Muhammad Hafiz Rasip selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

Justeru, mahkamah melepas dan membebaskan Muhammad Hafiz yang juga peniaga dan mengarahkannya keluar daripada kandang tertuduh.

Sementara itu, peguam bela, Mak Kah Keong, mewakili anak guamnya berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting bagi menceritakan segala yang berlaku pada hari kejadian selain enam saksi pendakwaan yang dipanggil di akhir pendakwaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Muhammad Hafiz dan isterinya, Nur Khalimah Fatihah Mohd Affandi, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, suami isteri berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Semabok, 7.30 malam, 11 Julai 2018.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 5:45pm
d