mutakhir

Hanya 7 peratus bot nelayan pasang AIS

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

HANYA 144 daripada 2,059 bot nelayan di pantai timur Sabah dilengkapi alat Sistem Pengesanan Automatik (AIS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hanya tujuh peratus bot nelayan di negeri Sabah dilapor memasang sistem berkenaan.

Menurutnya, AIS sangat penting demi keselamatan pihak berkenaan namun sehingga hari ini jumlah yang memasangnya sangat sedikit.

“Oleh itu, adalah disarankan AIS ini wajib dipasang pada semua bot nelayan. Pemasangan AIS sebenarnya banyak manfaat terutama untuk keselamatan dan sekiranya tidak dipasang atau mematikannya sukar untuk kita bantu.

“Perbuatan itu menyukarkan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk memantau mereka di laut sekiranya berlaku rompakan dan lain-lain kejadian,” katanya dalam sidang media di Pejabat ESSCOM di Lahad Datu, hari ini.

Hadir sama, Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor.

Mengulas lanjut, beliau berkata tanpa AIS pihaknya sukar mengesan lokasi tepat keberadaan sesebuah bot sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Dengan AIS kita akan dapat mengesan bot-bot itu serta-merta dan dalam masa yang pantas.

“Jika berlaku apa-apa, pasukan keselamatan boleh terus dikejarkan ke lokasi itu tanpa membuang masa,” katanya.

Terdahulu, pada 2016, AIS disarankan dipasang di semua bot-bot nelayan susulan kejadian culik dan rompak di perairan timur Sabah namun ia tidak diwajibkan dan hanya disarankan.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 6:40pm
d