mutakhir

Warga asing pun kena

Oleh Melvin Joni

SEBANYAK 44 notis dikeluarkan kepada warga asing di Sarawak kerana merokok di premis makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, notis berkenaan adalah daripada keseluruhan 347 notis kesalahan yang dikeluarkan dengan jumlah kompaun RM83,750.

Katanya, semua notis itu dikeluarkan setakat 14 Januari ini hasil daripada penguatkuasaan yang dijalankan di 9,082 premis makan di seluruh negeri.

“Sebanyak 259 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) dan sebanyak 44 notis dikeluarkan kepada warga asing.

“Disamping itu, sebanyak 62 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a), tujuh notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) dan 15 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu Orang Belum Dewasa yang merokok.

“Selain itu tiga notis kesalahan dikeluarkan di bawah peraturan 11(1)(j) iaitu kesalahan merokok di kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi dan satu notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(b) iaitu merokok di kawasan hospital atau klinik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zin Hing berkata, berdasarkan bilangan notis kesalahan yang dikeluarkan setiap hari, masih terdapat golongan perokok dan pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan larangan walaupun bilangannya semakin berkurangan berbanding tiga hari pertama penguatkuasaan dijalankan.

Justeru, beliau memohon kerjasama semua pihak mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat sentiasa terjamin.

Bagi yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Untuk kesalahan pertama, kompaun boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b) ,Tuan Punya Premis yang menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 7:05pm
d