mutakhir

PRK Kimanis: Maklum balas pengundi positif - Karim

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

CALON Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang yakin gerak kerja berpasukan di antara jentera WARISAN dan parti komponen Pakatan Harapan (PH), selain Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bakal membuahkan hasil baik, Sabtu ini.

Beliau berkata, keyakinan itu juga berdasarkan maklum balas positif pengundi yang menyenangi kehadirannya di mana-mana perjumpaan bersama rakyat yang diadakan di sekitar Membakut, Bongawan dan Kimanis sepanjang dua minggu berkempen.

“Saya yakin dan percaya gerak kerja yang kita buat beberapa hari ini akan membuahkan hasil yang baik dan komen pengundi memang positif. Jadi saya kira kerjasama ini akan dapat membantu saya dalam memenagi PRK Kimanis ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika program kempen jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diketuai Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun, di Kampung Tahak, dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mawao, Membakut, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua BERSATU Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Arif; Ketua BERSATU Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego dan Ketua BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim.

Karim memberitahu media, kempen yang berlangsung selama dua minggu itu umpama enjin kenderaan yang masih sejuk ketika baru dihidupkan tetapi semakin panas apabila sudah bergerak dan bertambah panas apabila kelajuannya meningkat.

“Kepanasan ini akan mencapai suhu yang tinggi dalam masa dua hari lagi, hari ini dan besok. Lusa kita sudah mengundi.

“Jadi, gerak kerja yang dibuat, saya yakin bukan saja saya, Datuk Ariffin yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut juga berkempen siang malam sehingga kadang kala beliau balik malam dan awal pagi.

“Begitu juga dengan kawan lain yang turut berkampung di Parlimen Kimanis ini. Mereka bekerja kuat hingga saya kasihan melihat mereka meninggalkan rumah tapi dengan semangat yang tinggi, persaudaraan dan persahabatan yang akrab, saya yakin bila mengundi nanti kemenangan bersama kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pengundi Parlimen Kimanis supaya berfikiran positif dengan mengambil kira bahawa ia adalah PRK untuk menyertai arus pembangunan yang sudah berjalan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Saya minta mereka sungguh-sungguh, jangan buang peluang keemasan ini sebabnya inilah satu-satunya PRK yang boleh membawa perubahan untuk Parlimen Kimanis,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, ketika ditemui media dan dalam beberapa ceramahnya, sebelum ini, menjelaskan isu yang dibangkitkan pada PRK Kimanis sepanjang kempen berlangsung, memihak kepada pembangkang.

Seperti diketahui, BN memainkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai bahan kempen utama bagi menarik perhatian pengundi Kimanis.

“Yang penting rakyat sudah bersetuju, saya sudah masuk kampung, kami buat referendum, rakyat sudah marah, banyak bantuan dikurangkan, dihilangkan dan banyak lagi isu lain seperti PSS.

“Kegusaran rakyat semakin menebal. Kemenangan PRK ini sebagai satu bantahan keras terhadap PSS. Isu yang lain termasuk soal memperjuangkan hak rakyat Kimanis, hak rakyat Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita akan desak semua ini,” katanya.

Beliau turut memberi sandaran hubungan baiknya dengan bekas Menteri Luar selaku penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman untuk dinilai pengundi berdasarkan perkiraan bahawa Anifah banyak sumbangan di Kimanis.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 9:44pm
    d