mutakhir

Diberkas tak sampai sejam

Oleh Nor Farhani Che Ad

TIDAK sampai satu jam, sebuah kereta dilaporkan hilang di kaki Gunung Jerai, Guar Chempedak, polis berjaya menemukan semula kenderaan terbabit ketika sedang dipandu suspek, di Yan, semalam.

Bagaimanapun, polis terpaksa mengejar kenderaan berkenaan sejauh kira-kira 10 kilometer apabila Perodua Myvi itu dipandu dengan laju dan berbahaya sebaik sahaja dihampiri polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kenderaan itu dikesan pihak polis ketika sedang menghala ke arah Yan, kira-kira 7 malam.

"Kenderaan itu ditemui sekitar Tanjung Jaga. Bagaimanapun, suspek memecut kenderaan itu bagi mengelakkan daripada ditahan.

"Polis berjaya memintas kereta itu ketika tiba di pekan Sungai Yan, namun ia didapati hilang kawalan sebelum terbabas sehingga melanggar sebuah Proton Saga yang berada di bahu jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 24 tahun itu serta merampas kenderaan terbabit.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan kereta pasukan polis mengalami kerosakan di tepi pintu sebelah penumpang hadapan dan belakang akibat dilanggar oleh suspek.

Shahnaz berkata, sebelum kejadian, Perodua Myvi berkenaan dilaporkan hilang pada 6.30 petang di kaki Gunung Jerai sewaktu pemiliknya meninggalkan seketika kereta berkenaan untuk ke kebun berhampiran.

Beliau berkata, hasil semakan, suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam mencuri kenderaan itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 8:45am
d