mutakhir

Bekas bilal kantoi lagi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BEKAS bilal yang pernah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dua tahun lalu kerana terbabit dengan dadah diberkas sekali lagi di Kampung Charuk Kudong, di Pendang, semalam, atas kesalahan sama.

Lelaki berusia 40-an itu antara 12 penagih dadah yang ditahan dalam operasi Ops Tapis Bersepadu yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.

Operasi bermula jam 6 pagi hingga 2.30 petang semalam berdasarkan maklumat dan risikan.

Kesemua lelaki berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan ketika sedang melepaskan gian dengan menjadikan kebun getah sebagai ‘port’ untuk menagih dadah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, operasi disertai anggota dan pegawai IPD Pendang dengan kerjasama AADK Pendang.

Beliau berkata, tiga suspek ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Selain itu, sembilan suspek lain ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, semua suspek kemudian dibawa balik ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 8:58am
d