mutakhir

Undur sampai rempuh rumah jiran

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA cedera selepas ‘tersilap’ ketika mengundur keretanya dan melanggar tiang rumah jiran di Jalan Bahtera, Taman Harapan, Kedah Kedah, Alor Setar, hari ini.

Kejadian berlaku 8.45 pagi menyebabkan wanita berusia 42 tahun itu cedera di kaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan untuk khidmat khas kemalangan pada 8.53 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Ramli Abdullah ke lokasi.

“Pasukan tiba mendapati terdapat sebuah Hyundai Accent dipandu wanita hilang kawalan dan melanggar rumah jirannya ketika mengundur.

“Mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu dan cedera kaki kanan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, anggota menggunakan peralatan dan membantu mengeluarkan mangsa.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 10:32am
d