mutakhir

Mangsa kebakaran dapat rumah

Oleh Hamzah Osman

NELAYAN sebak selepas rumahnya yang musnah dalam kebakaran bulan lalu, bakal dibina semula dengan sumbangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Rumah dua tingkat separa batu dan kayu didiami Zaini Saidin, 55, bersama 14 ahli keluarganya terbakar 22 Disember lalu menyebabkan mereka kerugian hampir RM22,000.

“Alhamdulillah berkat doa saya, isteri, anak, menantu dan cucu, kami sekeluarga akan dapat mendiami semula rumah yang lengkap dan selesa seperti sebelum ini.

“Selepas kehilangan rumah, kami terpaksa tinggal berasingan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, antara barangan yang musnah dalam kebakaran itu ialah peralatan menangkap ikan, dua motosikal, masing-masing sebuah kereta dan enjin jana kuasa.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan ini malah, LKIM juga menyumbang set lampu untuk menangkap sotong dan enjin jana kuasa baharu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil hadir menyampaikan sumbangan itu kepada Zaini.

Kata Muhammad Faiz, pembinaan rumah akan membabitkan peruntukan RM56,000 di bawah Skim Bencana Alam dan Kebajikan LKIM.

“Bantuan pembinaan semula rumah Zaini akan disalurkan menerusi Persatuan Nelayan Kawasan Langkawi dan pembinaannya dibuat secara gotong-royong,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 10:49am
d