mutakhir

Rezeki kreativiti Asnizam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KREATIVITI pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menghasilkan pelbagai model kapal dan bot serta aksesori jentera itu sehingga boleh diibaratkan seperti kapal sebenar.

Lebih unik, Asnizam Jamiran, 46, menggunakan kabus dan batang paip Polyvinyl Chloride (PVC) untuk membentuk badan kapal mengikut bentuk serta spesifikasi sebenar sesebuah jentera itu.

Asnizam berkata, pembuatan kapal hiasan termasuk aksesorinya melalui proses yang rumit kerana bersaiz mini yang memberikan cabaran kepada pembuatnya.

"Pembuatan kapal hiasan menuntut kesabaran, ketelitian dan kesungguhan yang tinggi kerana ia bukan kerja mudah dan terpaksa bersengkang mata menyiapkannya.

"Tetapi ia memberikan ketenangan dan kepuasan diri terutama selepas menerima maklum balas positif pelanggan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Manjung Baru, Seri Manjung, hari ini.

Menurutnya, dia mula menceburi bidang pembuatan kapal hiasan sejak 20 tahun lalu dan sudah menghasilkan ribuan unit model kapal dan bot yang dilengkapi dengan aksesori.

"Antara model yang dihasilkan seperti Kapal Diraja (KD) Hang Tuah, KD Jebat, KD Mutiara, bot Pasukan Khas Laut (PASKAL), KD Tunas Samudera dan kapal selam TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman.

"Selain itu, turut dihasilkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Perikanan Malaysia dan kapal dagang.

"Ada juga tempahan khas seperti model bangunan, senapang General Purpose Machine Gun (GPMG), torpedo kapal selam dan peluru berpandu," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, selain kabus dan paip PVC, pembuatan kapal hiasan turut menggunakan kad keras, bahan jahitan dan alat tulis yang disesuaikan mengikut kreativiti sendiri.

"Kabus akan dipotong dan dibentuk sebelum dicantum dan ditutup dengan kad keras menggunakan pelekat supaya lebih kemas.

"Selepas itu, aksesori kapal seperti sistem persenjataan, helikopter, layar, bot di atas kapal, pelampung keselamatan dan nombor kapal akan diletakkan dan disembur warna sama seperti kapal sebenar," katanya.

Menurut Asnizam, pada mulanya dia hanya suka-suka menghasilkan kapal hiasan kerana minat mendalam dalam bidang itu, namun kini menjadi sumber pendapatan keluarganya selepas bersara empat tahun lalu.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 12:52pm
d