mutakhir

Sindiket 10 tahun akhirnya tumpas

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

POLIS berjaya menumpaskan sindiket membeli dan menjual minyak sawit mentah haram dalam serbuan di sebuah premis di Batu Lima, Lahad Datu, Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira 2.30 petang itu, enam ahli sindiket berusia 19 hingga 41 tahun turut diberkas termasuk warga asing dan tiga lori minyak sawit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, risikan dilakukan mendapati kegiatan itu sudah berlangsung lebih 10 tahun dengan suspek mendapatkan minyak yang dipam dari lori yang tiada dokumen pembelian.

“Ketika serbuan, semua lelaki itu sedang sibuk mengepam minyak sawit dan pemeriksaan mendapati lori terbabit milik sebuah syarikat tempatan tidak mempunyai dokumen pesanan mahupun dokumen pembelian.

“Dalam masa sama, lesen perniagaan syarikat yang juga menjual, membeli dan menyimpan minyak sawit mentah sudah tamat tempoh sejak Jun 2019.

“Susulan itu, empat suspek tempatan dan dua warga asing itu diberkas untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, daripada jumlah lori disita, sebuahnya yang berkapasiti lima tan memuatkan 11 tong dram berisi minyak sawit mentah, manakala dua lagi lori tiga tan masing-masing ada satu tangki.

“Turut dirampas, empat tangki disyaki untuk menyimpan minyak sawit mentah hasil pembelian secara haram. Nilai rampas keseluruhan dianggarkan lebih RM70,000,” katanya.

Nasri berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati modus operandi sindiket itu adalah ‘mengambil’ minyak sawit mentah (dalam lori) milik sebuah kilang.

“Tangki minyak itu diubah suai supaya apabila lori dihantar semula ke kilang berkenaan, isinya tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya.

“Baki minyak yang tidak disedut itu kemudian diambil sindiket dan dijual pada harga rendah daripada harga pasaran kepada pemilik syarikat yang diserbu.

“Kemudian pemilik syarikat pula menjual semula minyak mentah berkenaan kepada kilang lain pada harga pasaran, untuk kaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu.

Untuk itu, katanya, siasatan dibuat mengikut Peraturan 5 (1) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 2:11pm
d